Posted on Thursday, 24th December 2009 by SleeqAdmin

KUALA LUMPUR, 23 DISEMBER 2009: Kemunculan kumpulan duo, Sleeq, diyakini dapat menambahkan keceriaan dunia hiburan serantau selain menjejaki kejayaan rakan artis terdahulu daripada republik itu. Sleeq dianggotai oleh pasangan sepupu, Ahmad Syarif dan Alif Abdullah yang kedua-duanya baru berusia 20 tahun.
Sebelum bernaung di bawah naungan syarikat Metadome yang beroperasi di Malaysia, mereka berdua pernah juga merasa perisa pengurusan daripada KRU Studios.
Bagaimanapun, ketika ditemui di majlis pelancaran album Sleeq-Classiq di Maison, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Syarif , berkata mereka hanya terbabit dengan pengurusan KRU Studios ketika di Singapura sahaja dan bukan di Malaysia.

“Kami pernah sekali saja terlibat dengan program terbitan KRU pada tahun lalu. Pun begitu, persetujuan kami bukanlah kepada kerja-kerja rakaman tapi setakat pengurusan selama setahun saja,” jelas Syarif kepada murai.com.my.

Pun begitu, ada pula angin gosip bertiup mengatakan Sleeq tidak puas hati dan berkrisis dengan komposer serta penyanyi terkenal dari negara mereka, Imran Ajmain.
“Sebenarnya memang benar kami pernah berselisih faham. Ia gara-gara pembikinan sebuah lagu. Bagaimanapun, segala-galanya telah selesai dan kami terus berkawan.

“Tapi ingin kami tegaskan bahawa gosip kami pernah ditipu oleh Imran itu adalah fitnah semata-mata. Selepas kami bekerjasama, barulah kami sedar kreativiti Sleeq dan Imran jauh berbeza. Syukurlah, selepas kejadian itu, Sleeq dan Imran semakin saling memahami,” kata Alif atau Alyph.

Katanya lagi: “Kami kenal pihak Metadome selepas konsert Krisdayanti di Singapura tempoh hari. Memang kami nak ikut jejak Imran sebagai artis Singapura yang berjaya di Malaysia. Dia memang inspirasi kami. Selain Imran, Aliff Aziz juga pendorong kami. Imran jugalah orang yang bantu lagu kami dimainkan di radio Singapura.”

Posted in Sleeq News | Comments (0)

Leave a Reply