Posted on Sunday, 27th December 2009 by SleeqAdmin
![]() |
|
SYARIFF bertindak sebagai vokalis Sleeq.
ALYPH menyuntik elemen rap untuk Sleeq. |
DUA anak muda, satu jiwa dan semangat. Mengharapkan sinar dan sayap untuk terbang tinggi dan menyinar, Sleeq merapati dunia muzik Malaysia bagi menyampaikan kreativiti mereka menerusi muzik.
Grup duo anak muda menyanyikan lagu sambil rap kedengaran sudah biasa benar dalam arena muzik, jadi apa penekanan Alyph dan Syariff.
“Kami mahu menegaskan dari segi stail muzik. Kami boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris tetapi kami bawakan dalam bahasa Melayu.
“Maksudnya di sini, melodinya berunsur Inggeris tetapi liriknya Melayu,” ujar Alyph dan Shariff serentak.
Dalam pada itu, mereka akui gemar mendengar lagu-lagu Chris Brown, Jay-Z dan Usher sebagai rujukan.
Tegas mereka lagi, walaupun mendapat input daripada para rapper tersohor dunia itu namun Sleeq yang memperjuangkan konsep pop, R&B dan hip hop tidak sehingga terbawa-bawa untuk menyamai karya mereka.
“Kami ambil sebagai rujukan dan jadikan satu mood dan rasa yang sesuai.
“Kemudian kami hasilkan lagu kami sendiri dengan akar yang betul untuk lagu R&B mahupun rap,” ujar mereka.
Anak-anak kelahiran Singapura ini mula membina nama di tanah air sendiri pada tahun 2007 menerusi album debut mereka, In The Q.
Diterbitkan sendiri dan dilancarkan secara indipenden, keterbukaan khalayak terhadap kerja keras mereka dibuktikan melalui nominasi Local Act Of The Year di 987 FM.
Kali ini mereka menjadikan Malaysia pula sebagai rumah kedua untuk menebarkan karya mereka. Maka, single debut yang berjudul Cun Saja diberikan untuk khalayak di sini.
“Kami sebenarnya mahu memperkenalkan perkataan cun yang sering digunakan di Malaysia kepada rakyat Singapura.
“Kami sering sangat mendengar atau mendapat respons dengan perkataan cun, maka kami rasakan ia sangat sesuai dijadikan sebuah lagu,” ujar Syariff yang merupakan vokalis kumpulan ini.
Sasaran mereka ialah mahu muzik mereka didengari ramai. Apatah lagi mereka menulis dan menggubah lagu sendiri tanpa banyak pengaruh luar.
“Dulu hari-hari dengar lagu. Ada sahaja lagu baru yang diperkenalkan oleh kawan-kawan. Jadi, tidak sedap hati dan fikir untuk buat lagu sendiri.
“Syukur sebab sudah dapat merakamkan lagu sendiri dan sudah ada konsep. Tetapi idea kami masih terbuka kepada kepelbagaian.
“Kami juga jadi semakin terbuka untuk bereksperimen dengan muzik baru,” ujar Alyph yang pula merupakan tukang rap dalam Sleeq.
Dalam rangka promosi memperkenalkan album Classiq yang memuatkan 13 buah lagu termasuk Untuk Dia, Fireworks, Mabuk, My Spy, Tanya Nama, Ain’t About Later, Terima Kasih Sayang dan Selamat Malam, Sleeq menganggap cabaran awal mereka dalam menjadi anak seni adalah untuk mencari inspirasi dan menyakinkan ibu bapa tentang pilihan mereka terhadap kerjaya muzik.
Namun, berkat kesungguhan yang dipamerkan, keyakinan itu terbina sedikit demi sedikit dengan kemunculan material yang diterima ramai.
Itu merupakan hadiah yang mereka berikan kepada keluarga kerana memahami minat dan antusias mereka yang terbina sejak tahun 2005.
“Dulu kami bergerak secara indipenden dan mengharapkan pertolongan kawan-kawan termasuk dari aspek penjualan.
“Kami bersyukur dapat masuk ke Malaysia dengan dinaungi Metadome Sdn. Bhd. Semuanya berjalan secara profesional di sini,” senyum kedua-dua sepupu ini mengenangkan album Classic, buah tangan pertama di Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.
Sesuai dengan pelancaran album yang telah selamat dilakukan, kedua sepupu ini terus mempercepatkan gerak langkah
Mereka juga sedang memadatkan jadual dengan sesi temu ramah dan fotografi bersama media negara ini. Sleeq mahu benar-benar dikenali.
Posted in Sleeq News | Comments (0)


