Posted on Sunday, 3rd January 2010 by SleeqAdmin

nukilan_sleeq
MESKIPUN zaman muzik hip hop yang pernah mewarnai industri muzik Malaysia sudah berlalu akibat dihanyutkan rentak indie yang mula menakluki pendengar, alasan itu tidak menggugat perjuangan dua bersaudara dari Singapura, Sleeq untuk terus memperkenalkan melodi nukilan mereka kepada peminat tempatan.

Kumpulan dianggotai Alyph (Alif Abdullah) dan Syarif (Ahmad Syarif) ini, kedua-duanya berusia 20 tahun, gigih mengintai ruang bagi menyebarkan pengaruh muzik mereka di sini.

Mereka kini tampil bergaya apabila single, Cun Saja, mendapat tempat di corong radio tempatan, sekali gus menyuntik semangat Sleeq yang ditubuhkan pada 2005 untuk berusaha memancing lebih ramai peminat dan mahu dikenali sebagai kumpulan mempertaruhkan irama pop, hip-hop dan R & B.

Kumpulan yang menjadikan irama Michael Jackson, JayZ, Usher dan Craig David sebagai kompas mereka dalam penciptaan muzik berkesempatan mempromosi album terbaru mereka berjudul Classiq ketika bertandang ke ibu kota baru-baru ini dengan kerjasama syarikat pengedar di Malaysia, Metadome Sdn Bhd.

Syarif yang gembira dengan sambutan pendengar tempatan terhadap lagu Cun Saja tidak melepaskan peluang untuk bercerita mengenai album terbaru mereka.

Tidak hanya itu, dua pemuda kreatif ini yang mencipta semua lagu untuk album mereka kecuali Kau Buat Aku yang diilhamkan oleh komposer Indonesia mengharapkan publisiti dan rangka promosi ini dapat menolak mereka ke pentas luar memandangkan selama ini ramai hanya mengenali lagu mereka berbanding wajah sebenar.

“Classiq mengandungi 13 lagu, iaitu sembilan Melayu dan empat Inggeris. Sebelum album ini dipasarkan, banyak lagu kami diputarkan di radio tempatan Singapura, antaranya Pilihan Aku, Cun Saja, Sembunyi dan Moviestar.

“Namun kami akui pasaran di Singapura tidak seluas Malaysia. Justeru, tawaran dan undangan nyanyian tidak semeriah mana berbanding teman artis dari Singapura yang mencipta nama di sini.

“Senario di Malaysia, lagu kami terlebih dulu dikenali berbanding publisiti diraih. Ramai tertanya-tanya siapa kami dan ini masa sesuai untuk memperkenalkan diri kepada peminat di Malaysia,” katanya yang pernah melancarkan album EP berjudul ‘In The Q’ pada 2007.

Judul lagu lain yang terkandung di dalam album penuh sulung mereka adalah Classiq, Untuk Dia, Fireworks, Mabuk, My Spy, Tanya Nama, Ain’t About Later, Terima Kasih Sayang dan Selamat Malam.

Lain bagi Alyph yang mengakui pelbagai cabaran dan pengalaman yang melingkari diari mereka sepanjang penerbitan album ini.

Dia sempat berkongsi keperitan mereka dalam membahagikan masa antara pelajaran dan perjuangan dalam muzik.

Bagaimanapun, keserasian dan persefahaman antara kedua-dua mereka memudahkan proses pembikinan selain mengatur jadual kerjaya seni.

“Rumit untuk menyiapkan album ini kerana kami masih menuntut ketika itu. Keluarga tidak pernah menghalang, sebaliknya terus memberi galakan. Cuma mereka selalu ingatkan supaya pelajaran tidak diabaikan. Bayangkan, keluarga saya sanggup melabur untuk membeli set studio mini yang dipasang di bilik tidur saya untuk memudahkan kami mencipta lagu selain melakukan proses rakaman.

“Walaupun tidak secanggih mana, itu sudah cukup memudahkan kami. Saya banyak eksperimen muzik sendiri selain mencipta lagu, manakala Syarif berkebolehan memberi sentuhan akhir serta menulis lirik. Oleh itu, pembahagian kerja sangat mudah dan seimbang.

“Malah, kombinasi karya kami sangat bersesuaian memandangkan kami punya minat muzik sama,” kata pelajar jurusan Rekaan Produk dari Politeknik Singapura ini yang pernah diuruskan oleh Imran Ajmain dan KRU Singapura.

Kini Sleeq bersedia melancarkan single kedua mereka, Untuk Dia, bagi terus memancing peminat tempatan.

Selain berhasrat diterima baik, kedua-dua anak muda yang menyimpan niat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam jurusan muzik dan audio ini sedia berdepan tanggungjawab sebagai rakyat negara republik itu, menyertai program khidmat negara selama dua tahun.

Posted in Sleeq News | Comments (2)

2 Responses to “Nukilan Sleeq – Metro Ahad”

  1. sayful87 Says:

    sala..
    kepada 2penyanyi hebat ini..saye sememangnya meminati lagu anda……best “CUN SAJA”. buat promosi yng lebih besar kat mlaysia biar semua orng tahu akan kehadran music’s anda k….kalo boleh saye nak join you all nyanyi boleh heheheheheheheheh!!

  2. AnniSuperstor Says:

    erm..kenapa susah sangat nak cari album sleeq nie..especially kat PAHANG..nak cari kat internet pun agak susah..to sleeq..Annis memang LOVE korang sangat..lagu2 korang memang best and tak bosan walaupun dengar hari2..owkey sleeq..majukan kumpulan korang k..love sleeq..mmuahhh!

Leave a Reply